Sarah Nuha 1 tahun 5 bulan bakal menjadi kakak

Sarah Nuha 1 tahun 5 bulan bakal menjadi kakak
Sayalah Sarah Nuha!

Thursday, June 21, 2012

Hubungan Syariat, Aqidah dan Ibadah


Apakah yang anda faham tentang syariat? Bincangkan hubungannya dengan aqidah dan ibadah beserta contoh perlaksanaan syariat dalam masyarakat Islam hari ini.

            Selepas merujuk dan membaca beberapa buah buku yang berkaitan, apa yang saya fahani tentang syariat ialah syariat merupakan hukum-hukum yang disyara’kan oleh Allah SWT untuk hamba-hamba Nya, samada yang berkaitan dengan aqidah, ibadah, akhlak, muamalat dan sistem-sistem hidup dalam pelbagai aspek demi untuk kebahagiaan manusia dunia dan akhirat. Hukum-hukum Allah SWT yang disyariatkan kepada hamba nya dinamakan syariat kerana ia diciptakan oleh Allah jelas dan lurus. Ia juga dinamakan ad-din kerana ia mesti dipatuhi dan denganya manusia mengabdikan diri kepada Allah SWT. Syariat juga dinamakan al-Millah kerana ia dapat memenuhi semua keperluan manusia. Oleh yang demikian, Syariat Islam merangkumi hukum-hukum yang terdapat di dalam al-Quran dan Sunnah Nabawiyah dan merupakan wahyu daripada Allah  SWT kepada Nabi Muhammad SAW supaya disampaikan kepada umat manusia.

            Syariat, aqidah dan ibadah saling berhubungan antara satu sama lain. Sebelum membincangkan tentang hubungan tersebut, saya ingin menyatakan apa yang dimaksudkan dengan aqidah dan ibadah. Aqidah menurut para Ulama’ bermaksud ilmu yang wajib dipercayai dan diimani oleh seseorang dengan dalil yang sahih dan meyakinkan. Makna aqidah secara umum adalah, keyakinan kuat yang tidak ada keraguan bagi orang yang meyakininya, baik keyakinan itu haq maupun batil. Aqidah dalam maksud yang khusus bermaksud aqidah Islam, iaitu, pokok-pokok agama dan hukum-hukum yang merupakan keimanan kepada Allah SWT, malaikat-malaikat, kitab-kitab, para nabi, hari akhirat, beriman kepada qada’ dan qadar, serta perkara lainnya yang diberitakan oleh Allah SWT dalam al-Quran dan oleh Nabi Muhammad SAW di dalam hadith-hadith yang sahih.

            Ibadah pula bermaksud segala bentuk amalan atau perbuatan samada melalui anggota zahir seperti solat, tawaf, dan haji atau melalui lidah seperti berzikir, membaca al-Quran dan melalui hati iaitu ikhlas, khusyuk, tawaduk kepada Allah SWT dengan tujuan pengabdian khusus kepada Allah SWT. Ia juga bermaksud taat dan patuh menjalankan perintah Allah SWT dan menjauhi laranganNya. Ibadah bukan sahaja solat dan puasa tetapi meliputi semua segi kehidupan samada ia ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat mahupun ibadah umum seperti bersedekah, bergotong royong,bekerja, membantu orang lain dan sebagainya.

Hubungan syariat dengan aqidah dapat dilihat pada istilah aqidah, jika disebut secara umum (sendirian) membawa maksud hukum-hukum syariat dan keharusan dalam mengamalkannya. Sebagaimana istilah syari’at jika disebut secara umum (sendirian), maka ia bersangkutan perkara-perkara keimanan dan perkara pokok serta hukum-hukum syariat yang pasti, iaitu aqidah.

Firman Allah SWT:“Dia telah mensyari’atkan bagi kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu,..” (Asy Syuura/42 :13). Oleh itu dapat difahami, aqidah dan syariat merupakan kesatuan yang tidak dapat dipisahkan. Sebagaimana telah diketahui bahawa iman itu meliputi keyakinan dan amalan. Keyakinan inilah yang di sebut sebagai aqidah, dan amalan ini yang disebut syariat. Ini kerana iman itu, jika disebutkan secara mutlak (sendirian) maka ia mencakupi keyakinan dan amalan, sebagaimana firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.” ( Al Hujuraat/49 : 15)

Hubungan ibadah dan syariat juga tidak boleh dipisahkan. Ibadah adalah cara merendah diri kepada Allah SWT iaitu ketundukan yang paling tinggi disertai dengan rasa mahabbah (kecintaan) yang paling tinggi. Sementara syariat sebagai sistem nilai berisi peraturan yang menggambarkan fungsi cara beribadah. Muslim yang baik adalah orang yang selalu beribadah dengan kuat dan mendorongnya untuk melaksanakan syariat yang hanya ditujukan pada Allah SWT sehingga tergambar akhlak yang terpuji pada dirinya. Atas dasar hubungan itu, maka seseorang yang melakukan ibadah, tetapi tidak dilandasi oleh keimanan, maka orang itu termasuk ke dalam kategori kafir. Seseorang yang mengaku beriman, tetapi tidak mahu melaksanakan syariat, maka orang itu disebut fasik. Sedangkan orang yg mengaku beriman dan melaksanakan syariat tetapi dengan landasan ibadah yg tidak lurus disebut munafik. Ibadah dan syariat dalam Al-Quran disebut iman dan amal soleh. Iman menunjukkan makna aqidah, dan amal soleh menunjukkan pengertian syariat. Seseorang yg melakukan perbuatan baik, tetapi tidak dilandasi syariat, maka perbuatannya hanya dikategorikan sebagai perbuatan baik.

Ibadah dan syariat saling kait mengait. Misalnya, ketika Allah SWT menjelaskan tentang solat. Ibadah adalah semua penjelasan apa dan mengapa kita solat. Syariat adalah penjelasan bagaimana pelaksanaannya, syarat-syaratnya, rukun-rukunnya. Aqidah adalah konsep sedangkan syariat adalah hukum dari Allah SWT. Ibadah mendefinisikan hal ehwal atau hakikat segala sesuatu. Konsep itu bersifat mutlak benar kerana berasal dari wahyu Allah SWT. Konsep yang diwahyukan Allah SWT itu menjadi titik referensi manusia dalam melihat, memahami dan meyakini yang lainnya. Berbeza dengan ibadah adalah hukum perbuatan. Sebagai hukum, ia terdiri perintah dan larangan terhadap suatu perbuatan manusia. Dengan kata lain, syariat adalah rambu-rambu yang boleh dan yang tidak boleh dilakukan dalam menuju misi hidup manusia ibadah.

Contoh perlaksanaan syariat dalam masyarakat Islam hari ini ialah seperti solat fardhu. Masyarakat Islam meyakini bahawa kewajipan solat itu telah difardhukan oleh Allah SWT. Ia wajib dilaksanakan dan menandakan pengabdian diri pada Allah SWT. Meyakini solat juga telah ditetapkan waktu-waktunya, syarat-syaratnya dan peraturan-peraturan yang berkaitan dengannya. Contoh kedua perlaksanaan puasa di bulan Ramadhan, Masyarakat Islam meyakini bahawa puasa di bulan Ramadhan itu merupakan Rukun Islam yang wajib dilaksanakan dengan penuh pengabdian kepada Allah SWT dan mengandungi peraturan-peraturan serta hukum-hukum didalamnya. Seterusnya, masyarakat Islam mengakui bahawa arak itu haram dan mereka meninggalkannya tanpa mempersoalkan tindakan tersebut kerana yakin dengan ketetapan pengharaman arak di dalam al-Quran. Masyarakat Islam melaksanakan syariat menutup aurat dengan mengamalkan pemakaian yang menutup aurat dan memenuhi ciri-ciri yang telah ditetapkan dalam Islam. Masyarakat Islam juga mengamalkan syariat dalam hal ehwal kekeluargaan dan perkahwinan yang digariskan dalam Islam.

No comments:

Post a Comment