Sarah Nuha 1 tahun 5 bulan bakal menjadi kakak

Sarah Nuha 1 tahun 5 bulan bakal menjadi kakak
Sayalah Sarah Nuha!

Sunday, January 20, 2013

Contoh Ucapan Guru Besar


UCAPAN TUAN GURU BESAR
SEMPENA MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN 2012

Assalamualaikum Wrt. Wbt. dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah di atas keizinan yang diberikan oleh Allah SWT serta Rahmat dan Kasih Sayang Nya. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kerana diberi kesempatan untuk menyampaikan sepatah dua kata dalam buku program sempena Hari Anugerah Kecemerlangan 2012 SK Sungai Megat Aris, Tanjong Piandang Perak. Saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita bertemu dan berkumpul pada hari yang penuh bermakna ini.
Sebagaimana tahun-tahun yang lalu, Majlis Anugerah Kecemerlangan merupakan agenda tahunan sekolah. Program seumpama ini diadakan bagi memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada para pelajar yang telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam bidang Akademik, Sahsiah, dan Kokurikulum sekali gus mengharumkan nama sekolah samada di peringkat Daerah mahupun di peringkat Negeri.
Selaku Guru Besar, saya turut berasa bangga dengan pencapaian anak-anak Tuan-Puan. Oleh itu, teruskanlah kecemerlangan yang dicita-citakan kerana kejayaan dan kecemerlangan bukanlah suatu destinasi tetapi suatu perjalanan dan kembara yang tidak ada batas sempadannya. Maksudnya, kecemerlangan hendaklah menjadi budaya dan mendarah daging dalam setiap aspek kehidupan dan tidak terhenti setelah kita menamatkan zaman persekolahan sahaja.
Untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan perlulah ada kesepakatan dan kerjasama pelbagai pihak. Di peringkat sekolah, kita telah melakukan yang terbaik selaras dengan etika dan Piagam Pelanggan Perkhidmatan Pendidikan. Justeru, gandingan mantap daripada Ibu Bapa, keluarga dan masyarakat sekeliling amat diperlukan supaya matlamat pendidikan untuk melahirkan generasi bagi mengisi wawasan negara akan tercapai.
Akhirnya, sekalung penghargaan turut diucapkan kepada warga PIBG SK Sungai Megat Aris, semua guru-guru dan kakitangan sokongan sekolah kerana tidak jemu-jemu membantu dari segi material dan sokongan moral hingga kita berjaya menganjurkan majlis seumpama ini. Segala jasa dan budi baik Tuan Puan hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalasnya.
Sekian. Saya sudahi dengan lafaz Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh.

Terima kasih.
Encik Md Radzi bin Awang
Guru Besar SK Sungai Megat Aris

No comments:

Post a Comment