Rungutan Jejas Kendiri Positif Anak
Anak adalah amanah Allah SWT...sentiasa berasa bahagia membesarkan anak-anak itulah perasaan semua ibu dan bapa namun perit jerih alam mendidik tidak dinafikan. Hakikatnya ia penuh dengan cabaran bersesuaian dengan label penjaga amanah yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita sebagai ibu bapa.
Firman Allah SWT: "Sesungguhnya Aku telah menjadikan manusia sebaik-baik kejadian".
Firman Allah SWT ini telah membuktikan kita semua dilahirkan dengan sebaik-baik kejadian iaitu pada tahap kendiri terbaik seorang manusia yang dipanggil kendiri fitrah. Kendiri ini sangat positif dan hebat. Namun mengapa masih ada manusia atau individu yang berperilaku tidak hebat dan tidak berjaya mengekalkan cara hidup berakhlak sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam?
Ibu bapa perlu menyediakan diri untuk menjadi ejen kepada pengekalan kendiri fitrah anak. Ibu bapa perlu sentiasa mengawal diri untuk berada dalam keadaan yang positif. Ini merangkumi percakapan dan perilaku.
Pertuturan yang positif melambangkan persekitaran yang dibina dalam keluarga. Manakala persekitaran positif yang wujud ini akan membantu mengukuhkan kendiri fitrah yang ada pada diri anak. Jika ibu bapa sentiasa menggunakan perkataan yang positif ketika bertutur minda anak kecil yang mendengar akan membentuk satu persepsi yang positif tentang persekitaran dan berasa selesa. Secara tidak langsung anak-anak akan berasa tidak selesa dengan persekitaran negatif di luar rumah. Hasilnya, persepsi ini membantu anak-anak untuk sentiasa menghampiri tempat atau rakan yang baik dan positif seperti surau, masjid, perpustakaan, majlis ilmu dan bersama keluarga.
Seterusnya pujian dan penghargaan juga akan membentuk kendiri positif anak-anak. Perpepsi yang dibina akan membentuk sistem kepercayaan dan keyakinan dalam hatinya bahawa dia sangat berharga kepada ibu bapa dan keluarga. Apabila anak rasa dihargai mereka akan lebih mudah menuruti kehendak ibu bapa yang positif. Kehidupan mereka akan lebih ceria.
Ibu bapa elakkan rengusan, kata-kata negatif dan rungutan, baik dengan kata-kata atau bahasa tubuh. Kanak-kanak amat sensitif dengan perkara ini. Semua ini menyukarkan pelan pengekalan kendiri fitrah berlaku dalam diri anak. Malah mereka berasa kurang yakin pada diri akibat persepsi negatif yang terprogram dalam minda rentetan daripada respon negatif yang diterima daripada kedua ibu bapa. Anak-anak yang dibina dan dirangsang kendiri fitrah akan menjadi anak-anak yang positif manakala sebaliknya anak-anak yang selalu dihidangkan dengan rungutan dan perkara negatif akan membentuk tingkah laku yang negatif juga..Semoga pengekalan pengukuhan kendiri positif anak-anak kita sentiasa disuburkan agar bila mereka dewasa nanti akan menjadi manusia yang hebat dan positif yang tidak menyalahkan orang lain akibat kelemahan diri sendiri.
No comments:
Post a Comment