Sarah Nuha 1 tahun 5 bulan bakal menjadi kakak

Sarah Nuha 1 tahun 5 bulan bakal menjadi kakak
Sayalah Sarah Nuha!

Wednesday, November 21, 2012

Ahmad Naseh Ulwan 1 TAHUN



Assalamualaikum wrt wbt..

Dah lama sangat tak buka dan takde cerita baru di blog ni...nak kata sibuk tak juga tapi biasalah rutin sebagai ummi dan guru padatlah juga...ermmm kebetulan cuti sekolah ni rasa teringin pula nak tulis/taip sesuatu...

Alhamdulillah pada 20 Oktober yg lepas genap setahun umur putera kesayangan yang pertama..Ahmad Naseh Ulwan. 19 Oktober sehari sebelumnya tu hari lahir ummi yg ke 32...tapi ummi tak sambut pun takpe yang penting hari2 bahagia buat anak2 dan insan2 yg tersayang. Bila kenang balik teringat waktu Doktor bagi pilihan tarikh untuk bersalin..sengaja tak ambil tarikh yg sama dengan tarikh lahir ummi...rasa risau waktu tu kalau apa2 terjadi..alhamdulillah umur masih panjang :)..syukur ya Allah.

Waktu post ni ditaip genap umur Naseh 1 tahun 1 bulan..terlalu banyak perkembangan Naseh yg berlaku di depan mata...kesian walid..selalu walid kata yg walid tertinggal perkembangan2 Naseh walaupun hampir tiap2 minggu balik Kajang-Parit Buntar...ketika ini Naseh dah pun ada 4 batang gigi atas (dua baru naik) dan 2 batang gigi bawah..time ni bila senyum memang mahal...dah pandai merajuk kalau ummi layan Kak Yong dulu..suka ketawa..dah meniti dr satu tempat ke satu tempat...makin lasak...dah faham apa yg kita cakap..dan byk lg le perkembangan bayi yg sebaya dengannya...Apa lg kebahagiaan seorang ibu melainka melihat anaknya sihat dan cerdas di depan mata....?

Hari ni juga banyak yg berlaku selain umur Naseh 1 tahun 1 bulan..hari ni juga genap umur Kak Yong 2 tahun 7 bulan dan genap usia perkahwinan 6 tahun 3 bulan..semua tarikh penting jatuh pada 20 hb....hari ni juga walid beritahu yg kami dah dapat Kuarters Guru Kajang..tingkat 4 tuu...:))) hihihi lepas ni boleh kuruslah ummi dgn walid...perancangan seterusnya belum diputuskan lagi..InsyaAllah semoga Allah permudahkan semuanya....

Rasanya setakat ini dulu post kali ini...dah lama tak menaip kat blog rasa tepu pula kepala...jumpa lagi :)..assalamualaikum..

Thursday, June 21, 2012

Kak Yong yg Manis...






Qanaah........Merehatkan Jiwamu....


Berkasut, berselipar dan berkaki ayam

Dalam urusan dunia, jika kita berkasut pandanglah orang yang berselipar. Jika kita berselipar, pandanglah orang yang berkaki ayam. Ia akan menjadikan kita sentiasa bersyukur atas apa yang kita miliki. Jika diberi harta yang lebih, kita rajin memberi. Jika diuji dengan kesempitan, kita tidak suka meminta-minta. Begitulah lazatnya jiwa yang qanaah. Sentiasa berasa cukup dengan apa yang kita ada. Sementara dalam urusan akhirat pula, sentiasalah memandang kepada golongan alim ulama’. Biarlah kita tidak kenal puas berusaha untuk meningkatkan diri agar menjadi lebih baik. Begitu juga dalam perihal menuntut ilmu. Jika kita berkaki ayam, pandanglah orang yang berselipar. Jika kita berselipar, pandanglah orang yang berkasut. Menuntut ilmu tidak harus berhenti selagi jasad belum ditelan bumi. Urusan akhirat dan ilmu, semakin diteguk semakin lazat di jiwa.

Menyingkap Hikmah

       Orang yang tidak pernah cukup dengan apa yang ada sentiasa resah memikirkan nasib diri. Kesannya, mereka merintih dan menyesali,membanding sehingga akhirnya merendah diri, bahkan sehingga hilang keyakinan dan mungkin menjadi pendengki. Orang yang qanaah pula biasanya dianugerahi sifat “arif” iaitu dapat memandang apa yang tersirat di sebalik sesuatu kejadian, keadaan atau masalah. Mengetahui hikmah bererti mengenali kebijaksanaan Tuhan. Apabila hubungan dengan Allah bertambah kukuh, semakin lazatlah jiwanya. Oleh Fatimah Syarha Mohd Noordin. Solusi bil.32.

Soal Jawab


1)Ali yang mengalami penyakit lelah terpaksa menggunakan inhaler pada bulan Ramadhan, bagaimanakah status puasa Ali itu?

2)Makcik Zainab telah bersiap sedia untuk melaksanakan haji dari awal. Sebulan sebelum melaksanakan haji, suami Makcik Zainab meninggal. Apakah beliau boleh melaksanakan haji dalam tempoh iddah itu?

3)Pada hari ke 3 hari raya korban, Pak Ahmad menyembelih dua ekor lembu diniatkan sebagai korbannya tahun ini. Satu bahagian lembu itu diniatkan mengakikah cucunya yang baru lahir. Beliau juga mengadakan kenduri berkenaan dengan menjadikan daging lembu sembelihan 2 ekor itu sebagai hidangan tetamu. Huraikan hukum bagi persoalan yang dihadapi Pak Ahmad?



Soalan 1
Ali yang mengalami penyakit lelah terpaksa menggunakan inhaler pada bulan Ramadhan, bagaimanakah status puasa Ali itu?

Jawapan:
            Antara perkara yang membatalkan puasa ialah memasukkan dengan sengaja sesuatu ke dalam rongga yang terbuka. Seperti yang diketahui, inhaler ialah alat untuk pesakit asma yang menggunakan gas. Gas ini akan meresap ke dalam tengkorok dan paru-paru. Menggunakan inhaler bagi yang berpuasa hukumnya boleh/harus menurut pendapat ulama’, sama ada ianya puasa Ramadhan ataupun yang lain. Kerana inhaler itu tidak sampai ke perut tapi hanya berfungsi melegakan saluran pernafasan dan penggunaannya pun hanya dengan bernafas seperti biasa. Jadi hal ini tidak seperti makan dan minum. Sebagaimana diketahui, bahawa hukum asal puasanya adalah sah sampai ada dalil yang menunjukkan rosaknya puasa. Inhaler sifatnya berbeza dengan merokok, di dalam buku al-Fiqh al-Mahanji Jumhur Ulama’ menyatakan batal puasa kerana pada hati mereka yang merokok terdapat kesan daripada rokok. Oleh itu, status puasa Ali ialah tidak batal puasa.

Soalan 2


Makcik Zainab telah bersiap sedia untuk melaksanakan haji dari awal. Sebulan sebelum melaksanakan haji, suami Makcik Zainab meninggal. Apakah beliau boleh melaksanakan haji dalam tempoh iddah itu?

Jawapan:
            Ibadah haji dan umrah wajib ke atas orang yang mempunyai 6 syarat dan 2 syarat lagi ditambah bagi perempuan iaitu:

1-Islam, tidak sah jika tidak Islam kerana Islam merupakan salah satu daripada syarat sah ibadah.

2-Berakal,tidak wajib ke atas orang gila disebabkan dia tidak mampu membezakan suruhan dengan tegahan. Tuntutan syara’ tidak berlaku kecuali apabila ada akal.

3-Baligh, tidak wajib ke atas orang yang belum baligh. Ini disebabkan tidak dianggap mukhallaf dan tuntutan syara’ hanya berlaku atas orang yang baligh.

4-Merdeka, tidak wajib ke atas hamba disebabkan dia tidak memiliki sebarang harta. Malah dirinya sendiri dan apa-apa yang diperolehinya ialah milik tuannya.

5-Aman dalam perjalanan, tidak wajib haji dan umrah ke atas orang yang bimbang akan ancaman musuh terhadap dirinya atau hartanya disebabkan ada kemudharatan. Atau takut bahaya peperangan.

6-Berkemampuan, Hadith daripada Umar RA, sabda nabi SAW: “Seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan berkata, wahai Rasulullah! Apakah antara sebab yang mewajibkan haji? Baginda bersanda: Ada bekalan dan kenderaan.”

2 syarat tambahan untuk perempuan ialah:

1-Ada pengiring samada suami atau mahram, samada secara nasab atau bukan nasab.

Rasulullah SAW bersabda: “Seorang perempuan tidak boleh musafir selama dua hari kecuali bersama-sama suami atau mahramnya.” Dalam riwayat yang lain: “Seorang perempuan tidak boleh musafir kecuali bersama-sama mahramnya.” (Riwayat al-Bukhari)


2-Tidak berada dalam iddah samada iddah disebabkan perceraian atau kematian.

Firman Allah SWT: “Serta bertakwalah kepada Allah SWT, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya sehingga selesai iddahnya dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar dari situ, kecuali jika mereka melakukan perbuatan keji yang nyata.” (Surah al-talaq:1)

Seseorang perempuan tidak boleh menunaikan ibadah haji kecuali dengan keizinan suaminya. Dia tidak harus pergi jika ditegah suaminya. Sekiranya perempuan tersebut meninggal dunia ketika itu sedangkan dia mampu menunaikannya, dia tidak dianggap berdosa. Ibadah hajinya hendaklah diqhada dan perbelanjaannya diambil daripada harta peninggalannya.

Dalam kitab-kitab fiqh banyak disebutkan tentang keharusan wanita dalam iddah kematian suami untuk keluar dari rumah pada waktu siang tetapi dengan syarat terdapat tujuan tertentu dan penting. Menurut para fuqaha, antara perkara tersebut ialah seperti untuk mencari nafkah dan membeli barang keperluan rumah. Dalam mazhab Maliki pula ditambah penjelasan bahawa perempuan yang berada dalam iddah dilarang keluar untuk ziarah menziarahi, dilarang keluar berdagang (berniaga) (kecuali jika itu sumber nafkahnya), dilarang keluar untuk mengucapkan tahniah (seperti menghadiri majlis perkahwinan, pertunangan, hari jadi dan kelahiran bayi), dilarang keluar untuk mengucapkan takziah (seperti menziarahi orang sakit atau kematian) dan dilarang tidur kecuali di dalam rumahnya sendiri. Majoriti fuqaha juga berpendapat bahawa wanita yang dalam iddah dilarang mengerjakan haji atau umrah.
Dalam persoalan ini, Makcik Zainab telah bersiap sedia untuk melaksanakan haji dari awal. Sebulan sebelum melaksanakan haji, suami Makcik Zainab meninggal. Makcik Zainab tidak boleh menunaikan haji kerana wanita yang berada dalam iddah samada iddah kerana kematian atau perceraian tidak wajib atasnya menunaikan fardhu haji.

Soalan 3


Pada hari ke 3 hari raya korban, Pak Ahmad menyembelih dua ekor lembu diniatkan sebagai korbannya tahun ini. Satu bahagian lembu itu diniatkan mengakikah cucunya yang baru lahir. Beliau juga mengadakan kenduri berkenaan dengan menjadikan daging lembu sembelihan 2 ekor itu sebagai hidangan tetamu. Huraikan hukum bagi persoalan yang dihadapi Pak Ahmad?

Jawapan:
            Korban bermaksud menyembelih binatang tertentu untuk tujuan beribadat manakala aqiqah atas sebab kelahiran bayi. Walaupun maksud dan niat korban dan aqiqah adalah berlainan namun haiwan yang disyaratkan dalam kedua-dua ibadah ini adalah sama. Haiwan-haiwan tersebut ialah kambing, lembu, kerbau, unta. Untuk tujuan Korban boleh bersekutu untuk seekor lembu  kepada tujuh bahagian. Diriwayatkan Ahmad at-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Ibnu Abbas katanya: “Adalah kami beserta Rasulullah SAW dalam suatu safar, maka datanglah musim korban. Maka kami pun menyembelih seekor sapi untuk tujuh orang, dan seekor unta untuk sepuluh orang.” Begitu juga dengan aqiqah pembahagiannya adalah sama dengan korban. Bahagian aqiqa dibahagikan satu bahagian untuk anak perempuan dan dua bahagian untuk anak lelaki.

Imam Khatib Syarbini menyatakan di dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj, hukum ibadat korban adalah sunat muakkad. Bagi yang bernazar, ia akan menjadi wajib, manakala makruh bagi mereka yang sengaja meninggalkannya sedangkan berkemampuan untuk melaksanakannya.
Namun begitu, ibadah korban adalah wajib ke atas Nabi Muhammad s.a.w. seperti mana yang terdapat dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi bermaksud: "Diwajibkan ke atasku melaksanakan ibadah korban namun ia merupakan suatu amalan sunat bagi kamu."

Aqiqah menurut Imam al-Syarbini dalam kitabnya, al-Iqnaa ialah binatang yang disembelih pada hari kelahiran bayi dan sewaktu mencukur rambut bayi tersebut. Hukum ibadah akikah adalah sunat muakkad seperti mana ibadah korban. Namun, ibadah korban dan aqiqah akan bertukar menjadi wajib sekiranya seseorang itu bernazar untuk melakukannya.
Harus seorang yang ingin melakukan aqiqah berkongsi lembu/kerbau/unta dengan orang lain yang tidak berniat melakukan aqiqah seperti ia mengingini 1/7 atau 2/7 dari bahagian unta/lembu itu untuk aqiqah dan adapun bahagian selebihnya diingini oleh orang lain untuk korban atau untuk dagingnya sahaja. Berkata Imam an-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’; “Jika disembelih seekor lembu atau unta untuk tujuh orang anak/bayi atau berkongsi pada lembu/unta itu sekumpulan orang, harus hukumnya sama ada semua mereka mengingini aqiqah atau sebahagian mengingini aqiqah dan sebahagian lagi inginkan dagingnya sahaja”.

Dalam bab pembahagian daging korban dan aqiqah pula, daging aqiqah sunat disedekahkan sesudah masak atau dijamu seperti kenduri-kenduri yang lain. Ia juga sunat dimasak dengan masakan yang manis supaya akhlak anak tersebut mulia. Manakala daging korban sunat disedekahkan ketika masih mentah. Daging korban terbahagi kepada tiga bahagian kerana tidak semua daging korban diberikan kepada fakir, kecuali korban nazar. Sebahagian untuk kita sendiri, sebahagian untuk dihadiahkan dan sebahagian diberikan kepada fakir miskin. Berkorban harus memakan sedikit dan tidak boleh disedekahkan semuanya.

Bagi persoalan Pak Ahmad beliau boleh/harus menggabungkan korban dan aqiqah dalam seekor lembu yang sama dan diniatkan sebagai korbannya tahun ini. Satu bahagian lembu itu diniatkan mengakikah cucunya yang baru lahir. Beliau juga boleh mengadakan kenduri berkenaan dengan menjadikan daging lembu sembelihan dua ekor itu sebagai hidangan tetamu dan juga mengagihkan kepada fakir miskin daging mentah. Tidak boleh jika semua daging itu dimasak.



Hubungan Syariat, Aqidah dan Ibadah


Apakah yang anda faham tentang syariat? Bincangkan hubungannya dengan aqidah dan ibadah beserta contoh perlaksanaan syariat dalam masyarakat Islam hari ini.

            Selepas merujuk dan membaca beberapa buah buku yang berkaitan, apa yang saya fahani tentang syariat ialah syariat merupakan hukum-hukum yang disyara’kan oleh Allah SWT untuk hamba-hamba Nya, samada yang berkaitan dengan aqidah, ibadah, akhlak, muamalat dan sistem-sistem hidup dalam pelbagai aspek demi untuk kebahagiaan manusia dunia dan akhirat. Hukum-hukum Allah SWT yang disyariatkan kepada hamba nya dinamakan syariat kerana ia diciptakan oleh Allah jelas dan lurus. Ia juga dinamakan ad-din kerana ia mesti dipatuhi dan denganya manusia mengabdikan diri kepada Allah SWT. Syariat juga dinamakan al-Millah kerana ia dapat memenuhi semua keperluan manusia. Oleh yang demikian, Syariat Islam merangkumi hukum-hukum yang terdapat di dalam al-Quran dan Sunnah Nabawiyah dan merupakan wahyu daripada Allah  SWT kepada Nabi Muhammad SAW supaya disampaikan kepada umat manusia.

            Syariat, aqidah dan ibadah saling berhubungan antara satu sama lain. Sebelum membincangkan tentang hubungan tersebut, saya ingin menyatakan apa yang dimaksudkan dengan aqidah dan ibadah. Aqidah menurut para Ulama’ bermaksud ilmu yang wajib dipercayai dan diimani oleh seseorang dengan dalil yang sahih dan meyakinkan. Makna aqidah secara umum adalah, keyakinan kuat yang tidak ada keraguan bagi orang yang meyakininya, baik keyakinan itu haq maupun batil. Aqidah dalam maksud yang khusus bermaksud aqidah Islam, iaitu, pokok-pokok agama dan hukum-hukum yang merupakan keimanan kepada Allah SWT, malaikat-malaikat, kitab-kitab, para nabi, hari akhirat, beriman kepada qada’ dan qadar, serta perkara lainnya yang diberitakan oleh Allah SWT dalam al-Quran dan oleh Nabi Muhammad SAW di dalam hadith-hadith yang sahih.

            Ibadah pula bermaksud segala bentuk amalan atau perbuatan samada melalui anggota zahir seperti solat, tawaf, dan haji atau melalui lidah seperti berzikir, membaca al-Quran dan melalui hati iaitu ikhlas, khusyuk, tawaduk kepada Allah SWT dengan tujuan pengabdian khusus kepada Allah SWT. Ia juga bermaksud taat dan patuh menjalankan perintah Allah SWT dan menjauhi laranganNya. Ibadah bukan sahaja solat dan puasa tetapi meliputi semua segi kehidupan samada ia ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat mahupun ibadah umum seperti bersedekah, bergotong royong,bekerja, membantu orang lain dan sebagainya.

Hubungan syariat dengan aqidah dapat dilihat pada istilah aqidah, jika disebut secara umum (sendirian) membawa maksud hukum-hukum syariat dan keharusan dalam mengamalkannya. Sebagaimana istilah syari’at jika disebut secara umum (sendirian), maka ia bersangkutan perkara-perkara keimanan dan perkara pokok serta hukum-hukum syariat yang pasti, iaitu aqidah.

Firman Allah SWT:“Dia telah mensyari’atkan bagi kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu,..” (Asy Syuura/42 :13). Oleh itu dapat difahami, aqidah dan syariat merupakan kesatuan yang tidak dapat dipisahkan. Sebagaimana telah diketahui bahawa iman itu meliputi keyakinan dan amalan. Keyakinan inilah yang di sebut sebagai aqidah, dan amalan ini yang disebut syariat. Ini kerana iman itu, jika disebutkan secara mutlak (sendirian) maka ia mencakupi keyakinan dan amalan, sebagaimana firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.” ( Al Hujuraat/49 : 15)

Hubungan ibadah dan syariat juga tidak boleh dipisahkan. Ibadah adalah cara merendah diri kepada Allah SWT iaitu ketundukan yang paling tinggi disertai dengan rasa mahabbah (kecintaan) yang paling tinggi. Sementara syariat sebagai sistem nilai berisi peraturan yang menggambarkan fungsi cara beribadah. Muslim yang baik adalah orang yang selalu beribadah dengan kuat dan mendorongnya untuk melaksanakan syariat yang hanya ditujukan pada Allah SWT sehingga tergambar akhlak yang terpuji pada dirinya. Atas dasar hubungan itu, maka seseorang yang melakukan ibadah, tetapi tidak dilandasi oleh keimanan, maka orang itu termasuk ke dalam kategori kafir. Seseorang yang mengaku beriman, tetapi tidak mahu melaksanakan syariat, maka orang itu disebut fasik. Sedangkan orang yg mengaku beriman dan melaksanakan syariat tetapi dengan landasan ibadah yg tidak lurus disebut munafik. Ibadah dan syariat dalam Al-Quran disebut iman dan amal soleh. Iman menunjukkan makna aqidah, dan amal soleh menunjukkan pengertian syariat. Seseorang yg melakukan perbuatan baik, tetapi tidak dilandasi syariat, maka perbuatannya hanya dikategorikan sebagai perbuatan baik.

Ibadah dan syariat saling kait mengait. Misalnya, ketika Allah SWT menjelaskan tentang solat. Ibadah adalah semua penjelasan apa dan mengapa kita solat. Syariat adalah penjelasan bagaimana pelaksanaannya, syarat-syaratnya, rukun-rukunnya. Aqidah adalah konsep sedangkan syariat adalah hukum dari Allah SWT. Ibadah mendefinisikan hal ehwal atau hakikat segala sesuatu. Konsep itu bersifat mutlak benar kerana berasal dari wahyu Allah SWT. Konsep yang diwahyukan Allah SWT itu menjadi titik referensi manusia dalam melihat, memahami dan meyakini yang lainnya. Berbeza dengan ibadah adalah hukum perbuatan. Sebagai hukum, ia terdiri perintah dan larangan terhadap suatu perbuatan manusia. Dengan kata lain, syariat adalah rambu-rambu yang boleh dan yang tidak boleh dilakukan dalam menuju misi hidup manusia ibadah.

Contoh perlaksanaan syariat dalam masyarakat Islam hari ini ialah seperti solat fardhu. Masyarakat Islam meyakini bahawa kewajipan solat itu telah difardhukan oleh Allah SWT. Ia wajib dilaksanakan dan menandakan pengabdian diri pada Allah SWT. Meyakini solat juga telah ditetapkan waktu-waktunya, syarat-syaratnya dan peraturan-peraturan yang berkaitan dengannya. Contoh kedua perlaksanaan puasa di bulan Ramadhan, Masyarakat Islam meyakini bahawa puasa di bulan Ramadhan itu merupakan Rukun Islam yang wajib dilaksanakan dengan penuh pengabdian kepada Allah SWT dan mengandungi peraturan-peraturan serta hukum-hukum didalamnya. Seterusnya, masyarakat Islam mengakui bahawa arak itu haram dan mereka meninggalkannya tanpa mempersoalkan tindakan tersebut kerana yakin dengan ketetapan pengharaman arak di dalam al-Quran. Masyarakat Islam melaksanakan syariat menutup aurat dengan mengamalkan pemakaian yang menutup aurat dan memenuhi ciri-ciri yang telah ditetapkan dalam Islam. Masyarakat Islam juga mengamalkan syariat dalam hal ehwal kekeluargaan dan perkahwinan yang digariskan dalam Islam.

Soal Jawab Fiqh Islami


1)      Semasa bersiap-siap untuk bermusafir, Ali telah mendengar azan zohor dikumandangkan. Adakah beliau boleh mengqasarkan dan menjamakkan solat zohor dengan asar?

2)      Huraikan perbezaan antara najis dan hadas dengan menggunakan bahasa sendiri?
Soalan kuiz:
Semasa bersiap-siap untuk bermusafir, Ali telah mendengar azan zohor dikumandangkan. Adakah beliau boleh mengqasarkan dan menjamakkan solat zohor dengan asar?

Pertama sekali untuk menjawab persoalan ini saya melihat ia kepada dua jawapan.
1)         Mengqasarkan dan menjamakkan solat zohor dengan asar apabila keluar musafir selepas mendengar azan.
2)         Mengqasarkan dan menjamakkan solat zohor dengan asar selepas mendengar azan sebelum keluar musafir (bermukim)?

            Jawapannya harus mengqasarkan dan menjamakkan solat zohor dengan asar apabila keluar musafir selepas mendengar azan. Ini kerana tidak mendengar azan atau tidak masuk waktu itu bukan syarat yang membolehkan jamak dan qasar.

Syarat qasar ialah: Solat fardhu itu dilakukan ketika musafir, perjalanan melepasi qaryah, tidak berniat menetap selama empat hari di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar, tidak mengikut imam yang bermukim.

Syarat jamak ialah:
Jamak taqdim
a)Kedua-dua solat dilakukan mengikut urutannya iaitu dimulai dengan solat pertama yang empunya waktu kemudian diikuti solat yang kedua.
b)Berniat menjamakkan solat yang kedua dengan yang pertama. Walaubagaimanapun niat tersebut sunat beserta takbiratul ihram.
c)Kedua-dua solat dilakukan secara berturutan, iaitu memulakan solat yang kedua dengan segera sebaik sahaja selesai salam solat yang pertama tanpa dipisahkan dengan berzikir, mengerjakan perkara sunat dan sebagainya.
d)Masih dalam musafir sehingga memulakan solat yang kedua.

Jamak takhir
a)Berniat menjamakkan solat yang pertama dalam waktunya yang asal kepada solat yang kedua. Sekiranya tamat waktu zohor tanpa berniat menjamakkan solat zohor kepada asar maka solat zohor wajib diqada.
b)Masih dalam musafir sehingga selesai mengerjakan kedua-dua solat.
c)Tertib antara kedua-dua solat tidak disyaratkan malah boleh dimulakan dengan mana-mana solat yang dikehendaki.
Dalam masalah ini, yang diambil kira ialah waktu solat didirikan bukan waktu keluar daripada qaryah. Hal mendengar azan sebelum musafir tidak termasuk di dalam syarat sah jamak atau qasar dan tidak termasuk dalam perkara yang membatalkannya. Dalilnya maksud Firman Allah SWT: Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa memendekkan sembahyang.” (An-Nisak:101)

Persoalan kedua jika jamak dan solat dilakukan di rumah setelah mendengar azan berkumandang iaitu masih bermukim. Jawapannya harus menjamakkan solat tetapi tidak boleh menqasarkannya. boleh melakukan solat jamak antara zohor dengan asar di rumahnya sebelum keluar musafir sekiranya bimbang akan terlepas waktu asar atau maghrib dengan isyak takut terlepas waktu isyak. Ini disebabkan jika kita menaiki kenderaan awam yang bukan milik sendiri yang menyebabkan susah untuk berhenti bagi menunaikan solat atau bimbang tidak sempat sampai ke destinasi sehingga habis waktu solat atau kesulitan lain yang sudah diramalkan hingga kita pasti akan tertinggal waktu solat. Walaubagaimana pun ianya mestilah dilakukan dengan 4 rakaat bukannya 2 rakaat. Iaitu tidak boleh men’qasar’kan solat tersebut kerana belum mula musafir. Niat untuk bermusafir sudah di kira bermusafir. Haram jika dengn sengaja meninggalkan solat jika sudah tahu akan timbul masalah untuk solat di pertengahan jalan. Dalilnya ialah sabda Rasulullah saw :
Hadis daripada Ibn Abbas r.a. katanya : Rasulullah sa.w. menghimpunkan antara solat Zuhur dan 'Asar dan antara Maghrib dan Isya' di Madinah, bukan kerana takut dan bukan pula kerana hujan. Dan di dalam lafaz yang lain: Bukan kerana takut dan bukan kerana safar, Lalu (Ibn Abbas) ditanya: Mengapa baginda s.a.w. berbuat demikian? Jawabnya: Baginda s.a.w menginginkan agar tidak menyusahkan umatnya". (HR Muslim)

Soalan kuiz:
Huraikan perbezaan antara najis dan hadas dengan menggunakan bahasa sendiri?

Najis bermaksud benda yang kotor iaitu benda kotor yang menghalang daripada kita melakukan ibadah seperti solat. Dalam bahasa yang mudah ia (najis) tidak sah dibawa dalam solat. Benda-benda yang dikategorikan najis ialah arak dan semua cecair yang memabukkan, anjing dan babi, bangkai kecuali mayat manusia,ikan dan belalang. Seterusnya yang dikatakan najis ialah darah yang cair termasuk nanah, kencing dan najis manusia dan binatang, sebahagian yang terpisah  daripada binatang semasa hidup adalah najis. Susu binatang yang dagingnya tidak halal dimakan juga najis. Najis pula ada yang dilihat dan berjirim, mempunyai sifat zahir seperti warna atau bau. Ini disebut najis aini. Jika najis telah kering dan kesannya telah hilang, dengan kata lain kesan warna atau bau najis tidak ada lagi ia dinamakan najis hukmi. Najis pula terbahagi kepada tiga bahagian iaitu najis mughallazzah (berat) meliputi anjing dan babi, kedua najis mukhaffafah (ringan) ialah air kencing kanak-kanak lelaki bawah dua tahhun yang makan dan minum susu ibunya sahaja manakal najis ketiga najis mutawassitah (pertengahan) iaitu selain daripada najis mughallazah dan mukhaffafah.

            Hadas pula bermaksud kejadian yang dianggap wujud pada anggota manusia yang menghalang sah solat (sesuatu yang menega
h daripada sah solat) dan ibadah yang lain yang bersamaan hukumnya selagi tidak diberikan keringanan. Hadas juga dimaksudkan kepada perkara yang membatalkan wuduk dan yang mewajibkan mandi. Hadas terbahagi kepada dua bahagian iaitu hadas besar dan hadas kecil:

Hadas kecil ialah kejadian yang dianggap wujud pada empat anggota manusia, iaitu muka, dua tangan, kepala dan dua kaki yang menghalang daripada sah solat dan seumpamanya. Hadas ini akan terluput dengan berwuduk dan membolehkan seseorang melakukan solat.
Hadas kecil ada 2 perkara:-
1) Buang air besar
2) Buang air kecil
Seseorang yang berhadas kecil wajiblah beristinjak terlebih dahulu untuk membersihkan najisnya. Untuk mengangkat hadas kecil bagi dua perkara di atas adalah dengan berwuduk.
Hadas besar ialah kejadian yang dianggap wujud pada seluruh badan yang menghalang sah solat dan ibadat-ibadat seumpamanya. Hadas ini akan terluput dengan mandi dan menjadikan seseorang layak untuk melakukan ibadat yang telah dilarang sebelumnya.

Hadas besar ada 6 perkara:-
1) Jimak atau bersetubuh
2) Keluar mani
3) Haid
4) Nifas (darah yang keluar setelah melahirkan anak)
5) Wiladah (melahirkan anak samada basah atau kering)
6) Mati yang bukan syahid

Bersuci bagi keenam-enam perkara di atas adalah dengan mandi hadas atau mandi wajib. Sebelum mandi hadas, seseorang itu dikatakan berada dalam hadas dan tidak boleh melakukan ibadah seperti sembahyang, puasa, bertawaf, memegang dan membaca al-Quran. 

Monday, June 18, 2012

Hari-hari Yang Berlalu Jun 2012...

Assalamualaikum semua..dah lama sangat tak ada post baru...
terima kasih kepada "silent reader" (ada ka...perasan jap)

Perkembangan terbaru...ape ya....badan agaknya yang semakin mengembang...kihkih...

Anak-anak dan Keluarga

Alhamdulillah my ensem boy Ahmad Naseh Ulwan akan masuk 8 bulan dengan berat 8.1 kg dan Kak Yong Sarah Nuha masuk 2 tahun 2 bulan dgn berat 9 kg.....lepas ni adik lebih besar pada kakak agaknya..budak2 pada tahap umur ni sgt pesat perkembangannya ...Kak Yong pun dah pandai cakap dan sgt byk mulut..mcm walid ke ummi ni????Naseh pula boleh golek2 (orang selatan dan pantai timur faham ke),pusing2,ke depan blkg kiri dan kanan tp belum angkat punggung lg...lambat lg nk merangkak agaknya....melalui pengalaman Sarah dulu, saya perasan yg anak2 saya lambat sikit psikomotor tetapi cepat verbal....alhamdulillah dua2 sihat selepas demam yang berlarutan awal tahun tadi. Satu perkataan Kak Yong yang selalu dia ulang dan akan sambung ayat kita bila kita puji dia "pandai".....sambung Kak Yong...."cerdik, bijak, dan lawaaaaaa". Ape 2 je la Kak Yong..semoga benar2 menjadi anak yang bijak dan solehah. Bila balik dr umah pengasuh masuk bilik opah dan tokwan sibuk ja tanya opah watpa, tokwan buat apa..mana makcu???Semua benda nak buat sendiri dan tak duduk diam...nak makan sendiri,nak pakai kasut sendiri,nak pilih baju sendiri..kanak2 pada tahap ini merasakan mereka mampu buat sendiri w/pun hasil sebaliknya (tumpah air,kasut dan baju terbalik dsb) itulah yang dinamakan perkembangan...perkembangan jika di isi dengan sebaiknya akan membuahkan hasil yg baik..saya juga masih teraba-raba dan tercari-cari masih try and error dalam menjadi ummi sepanjang mendidik anak2..saya yakin setiap ibu bapa mempunyai alasan yang tersendiri pada setiap didikan dan cara yang mereka terapkan pada anak2 mereka...bila pasangan dibesarkan dalam persekitaran yang berbeza , gandingan itu diharapkan dapat menghasilkan sesuatu  yang lebih pelbagai dan positif...inilah hikmah daripada perkahwinan  berlainan budaya, adat resam, tabiat ,didikan dan persekitaran yang berbeza..negeri je lain (Perak VS Melaka).

Sekolah dan Anak Murid

Cepatnya masa berlalu...sudah bulan Jun 2012...murid-murid pun sudah memasuki 6 bulan kedua. Ikhlas saya cakap kadang2 saya rasa mcm "tak pandai" mengajar bila masuk kelas hujung2 ni...bila tengok penerimaan murid rasa "down" dan sedikit putus asa...saya sll mengharapkan tidak ada marah, tengking, bebel, pukul, cubit di dalam kelas..tambah2 ini matapelajaran al-Quran dan Pendidikan Islam tetapi apa yang berlaku sebaliknya...Hari ni pagi2 lepas perhimpunan saya masuk kelas 4J..kelas akhir di antara 3 kelas tahun 4. Matapelajaran al-Quran...murid sangat tidak bermotivasi..menguap,mendengus,mengeluh, berbual dengan rakan sebelah dan tidak memberi perhatian...apabila membaca al-Quran beberapa orang sahaja yang mengikut....mula la berkira-kira dalam hati...saya cuba mempraktikkan cara pujian...huh lagi puji lagi melampau...habis la semua teori ngan hampa tak jalan..teori marah dan mengamuk jg agak menjadi...suara tidak sedap agaknya sbb tu murid tidak berminat..ya Allah siapalah aku untuk mempertikaikan kurniaanMu....guna kekerasan "siapa yang tak buka mulut utk mengaji nanti keluar api kat mulut dia..api nereka sbb tak mahu belajar!!!!"...kuat sekejap suara mereka mengikut bacaan lepas tu tenggelam balik...bila bagi latihan kat papan putih selagi tak ulang 100x takde siapa pun yang buka buku..ya Allah berilah ku kekuatan, kurniakan aku lidah yang fasih, suara yang menyenangkan dan Kau bukalah pintu hati anak-anak murid ku supaya mereka suka belajar dan menuntut ilmu....

Rakan Sejawat yg Bertukar

Minggu ini seorang guru j-QAF Ustaz Muhammad b.Shafiey sudah tidak bertugas di SKSMA lagi..beliau dapat bertukar balik ke Negeri Kelantan...Secara peribadi pertukaran beliau sedikit sebanyak terasa juga...sebab...saya dengan beliau "sekapal" kata orang..kami satu bacth..bacth j-QAF pertama 2005..bacth yang pertama di SKSMA....pahit manis,jatuh bangun, hitam putih sepanjang 2005-2012...sedikit sebanyak ada perkara yang "dipelajari" bersama beliau...dedikasi buat Us Mad selamat bertugas di sekolah baru..salam Transformasi!

Saya juga berkira2 untuk bertukar di tempat baru sedikit masa lagi...Putrajaya...masanya akan tiba juga tetapi bila/bagaimana semuanya dalam ketentuan Allah...saya mendoakan yang terbaik buat kami sekeluarga....banyak yang difikirkan dan masih panjang cita-cita..........rasa sayang pulak pada SKSMA...setelah lama dan serasi untuk memulakan yang baru sedikit gementar...tetapi jika tidak memulakan sekarang bila lagi.....semoga mendapat petunjuk....Akhir sekali terima kasih semua...insan-insan di sekeliling saya..yang mematangkan saya tidak kira yang memberi cabaran atau kekuatan semuanya penyumbang pada kebaikan (suka sangat buat ayat macam bagi ucapan..hihihi)...saya cuba ambilnya secara positif...wallahua'lam...

Monday, February 13, 2012

Aktiviti Sarah...

Masuk hari ni bermakna masuk minggu ke 3 saya menguruskan My Puteri dan My Ensem Boy sorang diri...Tak banyak beza walaupun kadang2 terasa nak terbang bawa dua2 pergi dekat walid.Sebelum ni aktiviti petang sarah adalah naik moto dengan walid tengok lembu,ayam kambing kat sekitar kampung...bila walid dah takde saya pulak amek alih bawa sarah naik "motor" dia yg warna pink tu..saya tolak dia sambil tunjukkan apa2 yg patut..sarah memang kuat bersembang...singgah rumah jiran yg ada banyak kucing memang dia best sgt!

Bila tengok avanza warna hijau sarah kata "ayid".."ayid"...bila avanza tu dah berlalu dia kata "mana ayid"...bila tengok baju  ayid dia kata ni baju ayid..kain ayid...dengar bunyi keta sarah kata "ayid dah mai"....hihihi...tapi sarah ni dia banyak benda yg dia nak main,ada je hal dia jadi dia mcm terlupa yg ayid takde...macammana kalau ayid benar2 "takde".....???

Abang memang tiap2 hari kol...ceria je suara...saya doakan abang terus cemerlang...dari cerita abang dia memang ceria dan gembira dgn keja baru....tapi masa mengajar dulu pun dia gembira jugak..hehhehe....semuanya okey je....sekarang dah jam 12.32 tgh malam...sarah dgn naseh baru sudah bangun menyusu round yg pertama....byk lagi keja nak buat...hmmmm.....

Friday, February 10, 2012

Cara Jauhi Gosip:Theresa Ong,Berjaya Dalam Kerjaya, keluaran alaf 21



 


Dah lama takde entri baru...baru2 ni saja belek2 buku Theresa Ong tajuk Berjaya Dalam Kerjaya..tajuk2/bab2 nya sgt menarik..dan nak share 1 tajuk iaitu cara jauhi gosip...gosip atau umpat dan fitnah sudah jd barah dalam kehidupan seharian kita..ia sudah seperti biasa malah "perlu" pula untuk menjaga kepentingan diri sendiri...ia bukan perkara baru tetapi telah banyak diceritakan dalam al-Quran..malah dalam surah an-Nur ayat 19 Saidatina Aisyah sendiri telah difitnah...untuk peringatan diri saya juga..sama-sama kita cuba jaga diri kita drpd gejala ini seterusnya zero terus....
Rasulullah menjelaskan, tatkala ditanya oleh seorang sahabat,
"Wahai Rasulullah, apakah itu ghibah?"
Lalu jawab Baginda,
"Menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu di belakangnya!"
Kemudian Baginda ditanya lagi,
"Bagaimana sekiranya apa yang disebutkan ltu benar?"
jawab Baginda,
"Kalau sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika sekiranya perkara itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (pembohongan besar)."

(Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tarmizi).

Mengapa dua perbuatan itu mudah berlaku dalam kalangan umat manusia? Sebenarnya selain kerana hasad dengki, manusia terbabit tidak memiliki Iman dalam jiwa mereka.Fitnah lebih dasyat daripada membunuh...
Sentiasalah berdoa supaya Allah mengurniakan kita sifat Tawadduk..dijauhi daripada hasad mahupun riyak..siapalah kita jika tidak semuanya milik Allah...


Beberapa tips menjauhi perkara ini:

1-Berhenti bergosip,Motivasi diri supaya tidak terjebak dalam  perkara ini.Fikirkan pandangan orang lain terhadap anda apabila anda menggosipkan seseorang.
2-Jauhi kumpulan-kumpulan yang sedang bergosip.

3-Anda patut bermuhasabah setiap kali mendengar cerita tentang seseorang atau tentang diri anda sendiri dengan bertanyakan diri sendiri:
Adakah cerita itu tepat?
Adakah anda suka bermusuh?
Adakah anda mempunyai musuh?
Apakah faedah cerita tersebut kepada anda?
4-Jangan terlalu mudah mempercayai seseorang.Jangan ceritakan masalah peribadi kepada seseorang kecuali anda benar2 mengenalinya dan yakin akan kejujurannya.

5-Jika anda sering menghabiskan sebahagian waktu kerja dengan bergosip menerusi pelbagai saluran berazam untuk meninggalkan perkara tersebut.
6-Jika anda terperangkap dalam suasana gosip, cuba elakkannya dengan mengubah topik perbualan.

7-Jangan terlepas cakap.Cakap malam dengar-dengar,cakap siang pandang-pandang.
8-Berfikir dahulu sebelum bercakap.Fikirkan kesan buruk yang bakal diterima jika anda bercakap tentang sesuatu.

9-Jangan cepat membuat penilaian terhadap orang lain tanpa maklumat yang mencukupi atau bukti yang kukuh apatah lagi ia keluar daripada mulut orang yang tidak menyukai individu tersebut.

10-Jangan takut berdepan dengan orang yang suka bergosip tentang diri anda.

11-Jika anda mendengar cerita yang meragukan jangan sebarkannya tetapi minta penjelasan daripada orang yang membawanya.

12-Jangan menokok tambah cerita yang negatif. Sentiasa berfkiran terbuka.